Perantau 01 Borneo julang Piala Taib

0

LIMBANG: Pasukan bukan pilihan, Perantau 01 Borneo dari Limbang membuktikan kegagahannya apabila muncul juara menewaskan 17 pasukan lain sekali gus membawa pulang piala pusingan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Kejohanan Tarik Kalat Seborneo 2013 di sini petang kelmarin.

Selain piala pusingan mereka juga membawa pulang wang tunai RM10,000.

Sementara itu, juara tahun lalu iaitu Kudat Power (Sabah) terpaksa akur di tempat kedua dengan menerima wang tunai RM5,000 dan piala iringan, manakala Papar Viking mendapat tempat ketiga menerima RM3,000 dan piala iringan.

Tempat keempat dimenangi pasukan Apache Sungai Bedaun dari Wilayah Persekutuan Labuan membawa pulang RM2,000.

Hadiah pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail.

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Maria Hasman, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Temenggung Ang Kheng Su dan Pemanca Alie Jahar.

Sebanyak 17 pasukan menyertai kejohanan kali ini membabitkan empat pasukan dari Limbang (Perantau 01 Borneo, PNK, Kulimbabau, Slimbada), enam pasukan dari Sabah (Belantak Sipitang, 1Borneo Beaufort, Papar Caterpillar, Kudat Power, Papar Viking, DBKK Team), pasukan EWC Anak Brunei (Brunei), tiga pasukan dari Sarawak (UNIMAS, Briged Sarawak PGA, Tali Fidhalat Miri) dan tiga pasukan dari Wilayah Persekutuan Labuan (Apache Sungai Bedaun,Kuda Majal dan Otai Tug Team).