Bajet pragmatik tangani iklim ekonomi lebih sukar

0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membentangkan Bajet 2014 bermatlamat memperteguh ketahanan ekonomi, memperkasa transformasi dan melaksana janji, sambil mengingatkan rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dalam mendepani ketidaktentuan politik dan ekonomi global.

Najib, yang juga menteri kewangan, berkata rangka tindakan kewangan negara memberi tumpuan kepada lima teras: merancakkan aktiviti ekonomi, mengukuh pengurusan fiskal, mengungguli modal insan, mempergiat pembangunan bandar dan luar bandar serta mensejahterakan kehidupan rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat semalam meskipun ekonomi terbuka Malaysia tidak terkecuali daripada tempias jangkaan pertumbuhan global yang perlahan sebanyak 2.9 peratus tahun ini, namun asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang akomodatif menjanjikan pertumbuhan yang mampan, malah ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus dalam separuh pertama tahun ini.

Najib menegaskan indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan, sebagai contoh, sehari sebelum pembentangan Belanjawan, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan nilai pasaran RM1.66 trilion pada penutup Bursa.

Ini, katanya, membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.

Selain itu, kemasukan pelaburan langsung asing bersih dalam separuh pertama tahun ini mencecah RM18.2 bilion iaitu peningkatan RM2.3 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Rizab antarabangsa pula kekal kukuh sebanyak RM444.9 bilion setakat 14 Okt, cukup untuk membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

Bagi keseluruhan 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar antara 4.5 peratus dan 5 peratus, disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak RM165 bilion.

Sebagai tambahan, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang masing-masing 7.4 peratus dan 7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.

Dengan pelaksanaan Bajet 2014 dan sejajar dengan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, Najib mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh pada kadar antara 5 peratus dan 5.5 peratus, dipacu sebahagian besarnya oleh pelaburan swasta yang berkembang 12.7 peraus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.

Gambaran ekonomi lebih cerah oleh Najib pada 2014 menyaksikan eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus.

Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah 3.1 peratus bagi tahun depan, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.

Perdana Menteri turut menjangkakan pendapatan per kapita bagi tahun 2014 akan mencecah RM34,126 berbanding RM24,879 pada tahun 2009, peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh enam tahun.

“Sehubungan ini, kami yakin akan dapat mencapai sasaran pendapatan per kapita RM46,500 atau AS$15,000 pada 2020,” kata Najib.

“Mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020.” Bajet 2014 akan memperuntukkan sejumlah RM264.2 bilion bagi melaksanakan program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM217.7 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM46.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM63.6 bilion adalah bagi Emolumen dan RM36.6 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan.

Sebagai tambahan, RM114.5 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM1.4 bilion bagi pembelian aset dan baki RM1.5 bilion untuk perbelanjaan lain.

Berhubung perbelanjaan pembangunan, RM29 bilion disediakan untuk sektor ekonomi manakala RM10.5 bilion disalurkan kepada sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan dan pembangunan masyarakat.

Seterusnya RM3.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, manakala RM1.12 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Kerajaan, kata Najib, turut mengunjurkan kutipan hasil lebih besar tahun depan.

Pada unjuran RM224.1 bilion, ia merupakan tambahan RM4 bilion berbanding jumlah jangkaan tahun ini.

Ini bermakna defisit fiskal kerajaan persekutuan akan terus berkurangan daripada 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

“Jelas di sini, kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kewangan negara,” kata Najib.

Berhubung teras pertama Bajet 2014 iaitu merancakkan aktiviti ekonomi, Najib menarik perhatian kepada usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing, membawa kepada peningkatan dalam pelaburan swasta, dengan sumbangannya kepada KDNK meningkat daripada 12.4 peratus pada 2010 kepada 16.7 peratus ketika ini.

Pelaburan swasta bagi tahun depan dianggarkan meningkat kepada RM189 bilion atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya minyak dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan dan pembangunan hartanah.

Menegaskan bahawa pelaburan awam dianggarkan mencecah RM106 bilion, perdana menteri berkata projek yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan landasan kereta api berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Baharu.

Dalam sektor minyak dan gas, projek yang akan dilaksanakan Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah (SAMUR) di Sipitang; projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan; dan projek regasifikasi di Lahad Datu; dan RAPID di Pengerang, Johor.

Najib berkata kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan projek berimpak tinggi.

Sehingga akhir 2012, pelaburan bernilai RM124 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkomited telah direalisasikan di wilayah koridor.

Najib berkata bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kesemua koridor berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah RM53.4 bilion dengan hampir 50 peratus direalisasikan.

Ini termasuk tiga projek di Wilayah Iskandar – Studio Pinewood, Hospital Gleneagles Medini dan Sekolah Antarabangsa Pegasus.

Tahun depan lima koridor serantau akan diperuntukkan RM1.6 bilion dengan antara projek utamanya termasuk projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah di samping Taman Pertanian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak.

Di Wilayah Pantai Timur pula, perdana menteri berkata Pelabuhan Kuantan akan diperluaskan manakala sebuah Kompleks Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Di Wilayah Utara, antara projek utamanya termasuk projek tanaman ladang komersial dan sistem fertigasi.

Ke arah menggalakkan pertumbuhan sektor perkhidmatan, Najib berkata kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada 2014 yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenal pasti subsektor yang berpotensi untuk dibangunkan.

Ini termasuk logistik, penerbangan, pelancongan, Internet, pasaran kewangan dan persaraan.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan sektor logistik yang lebih efisien, kerajaan akan merangka Pelan Induk Sektor Logistik yang akan menyediakan hala tuju pembangunan infrastruktur logistik, rantaian bekalan serta semakan semula peraturan dan undang-undang.

Sebagai tambahan, RM3 bilion akan diperuntukkan sebagai pinjaman mudah untuk menggalakkan perkembangan industri perkapalan, pembinaan limbungan, minyak dan gas serta aktiviti sokongan berkaitan maritim.

Bagi menggalakkan industri penerbangan, kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional yang akan menggariskan langkah bagi mengukuhkan ekosistem dan rantaian perkhidmatan awam, memandangkan kerajaan mengiktiraf potensi Malaysia sebagai hub penerbangan di rantau ini.

Antara projek bagi sektor ini adalah penggantian sistem pengurusan trafik udara di Subang dengan pembinaan sebuah pusat bernilai RM700 juta di KLIA yang akan meningkatkan pergerakan trafik udara daripada 68 kepada 108 pergerakan setiap jam melalui tiga landasan.

“Kapasiti pengendalian ini adalah yang tertinggi di dunia,” kata Najib.

Lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan, Miri, Sibu dan Mukah akan dinaik taraf melibatkan kos RM312 juta, manakala terminal penumpang di lapangan terbang Langkawi dan Kuantan akan dinaik taraf.

HSBB akan turut diperluaskan ke kawasan pinggir bandar dengan kos pelaburan RM1.6 bilion dan kawasan luar bandar, melibatkan pembinaan 1,000 menara pemancar telekomunikasi dalam tempoh tiga tahun dengan pelaburan RM1.5 bilion.

Bagi Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut yang baharu akan dipasang dalam tempoh tiga tahun dengan kos RM850 juta.

Dalam memperkukuhkan pasaran kewangan, Najib berkata undang-undang akan dipinda dan Akta Penyelesaian akan digubal untuk memelihara hak penguatkuasaan ‘close-out netting’ di bawah kontrak kewangan. Ini bertujuan mengurangkan risiko kredit dan menggalakkan pasaran derivatif, seterusnya membantu mengurangkan risiko sistematik pasaran kewangan negara serta merendahkan kos menjalankan perniagaan.

Langkah ini perlu memandangkan pasaran bon domestik Malaysia adalah yang terbesar di Asia Tenggara dengan nilai melebihi RM1 trilion, manakala pasaran pertukaran asing dan pasaran wang pula mencatat jumlah dagangan mlebihi RM30 bilion.

Perdana Menteri turut mengumumkan langkah signifikan untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam, terutamanya dalam mempromosi negara sebagai pasaran bagi Pelaburan Tanggungjawab Sosial (SRI).

Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk memperkenalkan Indeks Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus untuk meningkatkan profil syarikat tersenarai yang mempunyai amalan tanggungjawab sosial yang tinggi.

Turut dirangka adalah Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Sukuk SRI untuk membiayai pelbagai inisiatif pelaburan yang mapan dan bertanggungjawab.

Selain itu, kerajaan akan menubuhkan Dana SRI untuk dilaburkan dalam syarikat tersenarai yang menunjukkan amalan akauntabiliti, ketelusan dan kemapanan yang tinggi.

Mengenai Skim Persaraan 1Malaysia (SP1M) untuk golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, Najib berkata kerajaan akan meningkatkan sumbangan kepada 10 peratus atau maksimum RM120 setahun.

Bagi terus menggalakkan golongan muda membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta, kerajaan mencadangkan insentif RM500 secara sekali bayar kepada pencarum yang menyertai skim itu dengan pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh setahun.

Perdana Menteri turut menghuraikan tentang pergerakan rantaian nilai dalam sektor pertanian, dengan menyebut tiga langkah khusus.

Beliau berkata sebuah majlis yang dikenali sebagai ‘Food and Agro Council for Export’ (FACE) akan ditubuhkan sebagai pemudahcara untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menganjurkan Agro Bazar di Singapura dan meningkatkan eksport durian ke China.

Bagi memastikan harga produk makanan yang berpatutan, sejumlah 60 pasar tadi, 50 pasar ikan, 50 karavan tani dan 100 gerai buah-buahan segar akan dibuka di seluruh negara.

Terdapat subsidi dan insentif bagi aktiviti pertanian dan akuakultur selain penghasilan produk pertanian yang mempunyai permintaan tinggi seperti ternakan ikan di dalam sangkar, rumpai laut, herba bernilai tinggi dan ternakan udang kara.

Di bawah program Pembangunan Komuniti Bioekonomi, tanah terbiar akan dibangunkan untuk penanaman kontrak.

Selain itu, potongan cukai akan dinikmati syarikat yang melabur untuk memperoleh platform teknologi dalam industri berasaskan bio.

Bagi merangsang program keusahawanan, Pejabat Pembangunan Usahawan Nasional akan merancang dan menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan, sebagai tambahan kepada Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang diumumkan baru-baru ini bagi memperkasakan kalangan usahawan.

Kerajaan akan turut memperuntukkan RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Siswazah.

Bajet 2014 turut memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana yang membentuk kira-kira 98 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar, dengan peruntukan RM120 juta disediakan bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti, sebagai tambahan kepada perlanjutan pelbagai insentif dan bantuan sehingga penghujung 2017.

Kerajaan juga akan menyediakan pinjaman mudah kepada peniaga pasar malam.

Berhubung teras kedua Bajet bagi mengukuh pengurusan fiskal, perdana menteri menyentuh tentang transformasi perkhidmatan awam yang antara lain merangkumi pelan transformasi bagi setiap kementerian dan pewujudan Unit Pengurusan Integriti di setiap kementerian.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab dalam isu yang diketengahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 dan ketidakpatuhan dalam prosedur kewangan.

Bagi pembayar cukai, Najib mengumumkan mereka tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati dengan potongan cukai berjadual mereka, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.

Rasionalisasi subsidi menjadi tumpuan perbincangan prabelanjawan, dan perdana menteri berkata kerajaan akan secara berperingkat menstruktur semula kaedah pemberian subsidi bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menikmatinya.

Beliau kemudian beralih kepada satu lagi topik yang hangat dibincangkan sebelum pembentangan belanjawan: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Najib berkata GST akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan, oleh itu “GST bukanlah cukai baharu.”

Najib berkata GST akan ditetapkan pada kadar enam peratus berkuat kuasa 1 April 2015 atau 17 bulan dari sekarang. Beliau menyifatkannya sebagai kadar paling rendah di Asean.

GST tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas seperti beras, gula, garam, tepung dan minyak masak.

Ia tidak akan dikenakan ke atas bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik.

Selain itu, GST dikecualikan daripada perkhidmatan yang disediakan kerajaan seperti pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, perkhidmatan pengangkutan (bas, kereta api, LRT, feri, teksi, tol lebuh raya), jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan terpilih. — Bernama