‘Merempat selepas ditinggal’

0

PENCARIAN BELUM BERAKHIR: Algam (kiri) menunjukkan sijil lahirnya sambil ditemani ibu angkatnya, Saadiah Gadong semalam.

Algam berkelana, berusaha cari ibu bapa sejak ditinggalkan ketika berusia 10 tahun

LIMBANG: “Hidup saya seolah-olah merempat selepas ditinggalkan ibu dan ayah sejak berusia 10 tahun lagi.

“Saya tidak pernah melihat atau menemui mereka (selepas itu) walaupun tahu kedua-dua orang tua saya masih hidup,” kata Algam Peter, 25.

Itulah keluhan seorang pemuda yang seolah-olah hidup terasing di bumi sendiri kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri setelah ditinggalkan kedua-dua orang tuanya sejak kecil lagi.

Algam yang mempunyai sijil kelahiran berasal dari Sipitang, Sabah, dijaga oleh banyak keluarga angkat dan berhijrah ke daerah Limbang dan Lawas sejak tahun 2007 untuk meneruskan hidup.

“Menurut maklumat daripada sijil lahir, ayah saya ialah Peter Geruase berbangsa Kadazan, pernah bekerja sebagai penganalisis makmal sebelum menghilangkan diri sehingga kini.

“Manakala ibu, Ugaima Asakil berbangsa Filipina Bisaya juga tidak dapat dihubungi menyebabkan saya menghadapi kesukaran untuk membuat kad pengenalan,” ujarnya ketika mengunjungi pejabat Utusan Borneo di sini, semalam.

Algam menjelaskan lagi, ayahnya mempunyai kad pengenalan dan perkara itu diketahui selepas beliau bertanyakan sendiri di Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini.

Katanya, ketiadaan kad pengenalan menyebabkan beliau menghadapi pelbagai masalah termasuk pernah dituduh sebagai warga asing.

“Bukan saya tidak mahu membuat kad pengenalan, tetapi saya perlu mencari orang tua saya untuk tujuan itu,” jelasnya.

Algam yang mencari ayahnya sejak tahun 2009 terpaksa berkelana di beberapa tempat, namun usaha tersebut gagal sehingga sekarang.

Lebih memilukan, katanya, beliau menerima pelbagai khabar angin yang mengaitkan nama ayahnya dengan perkara tidak elok.

Menurutnya lagi, kedua-dua orang tuanya sudah berpisah sebaik beliau dilahirkan dan lebih menyedihkan, ibunya juga meninggalkannya sebaik beliau berusia 10 tahun.

“Sejak dari usia itu, saya dijaga oleh banyak keluarga angkat di beberapa tempat termasuk di Limbang dan Lawas,” tambahnya.

Algam bernasib baik kerana dijaga dengan baik oleh keluarga angkatnya yang berasal dari Kampung Malanggangai di sini.

“Malah, atas nasihat keluarga angkat, saya perlu mencari kedua-dua orang tua saya untuk mendaftarkan kad pengenalan seperti yang dikehendaki oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Saya merayu kepada ayah, ibu mahupun keluarga kedua-dua orang tua saya agar menghubungi saya untuk menerus-kan proses mendapatkan kad pengenalan diri,” katanya.

Jelasnya, beliau boleh dihubungi menerusi talian 019-4869725 ataupun menghubungi keluarga angkatnya di sini menerusi talian 013-8336709.