UMS ambil langkah sedia tenaga kepakaran minyak dan gas

0

ROSALAM (dua kanan) menekan punat alat kawalan elektronik sebagai simbolik pelancaran.

KOTA KINABALU: Sektor minyak memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dengan menyumbang lebih 40 peratus kepada pendapatan negara.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Mohd Harun berkata Sabah antara negeri penyumbang dalam industri ini dengan muncul sebagai hab kepada industri minyak dan gas.

Katanya, antara projek persisiran pantai di Sabah ialah seperti Kikeh, Gumusut, Kakap, Malikai, Kebabagan, Jangas, Ubah Crest, Pisangan dan Kamunsuand onshore project SOGT, Sipitang oil and gas industrial park (SOGIP) dan Kimanis-Bintulu gas pipeline.

“Menerusi industri minyak dan gas sama ada huluan dan hiliran, kira-kira 16,000 tenaga pekerja yang mempunyai kepakaran diperlukan untuk memenuhi permintaan menjelang tahun 2020.

“Justeru dengan melihat akan keperluan ini, UMS telah mengambil langkah dengan menyediakan program Pasca Siswazah dalam minyak dan gas pada tahun 2012,” katanya dalam ucapan perasmiannya pada Simposium Minyak dan Gas Antarabangsa dan Pameran (IOGSE), di Grand Ballroom 1Borneo, kelmarin.

Teks ucapannya disampaikan oleh Dekan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat, Accoc Prof Ir Dr Rosalam Sarbartly.

Menurut Harun, UMS turut memulakan program Ijazah di Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat dan program diploma dalam lima bidang seperti instrumentation, mekanikal, elektrik dan utiliti di Kampus Labuan UMS.

Katanya, pengwujudan program terbabit adalah bagi mencapai objektif menyediakan tenaga berkepakaran tinggi menerusi kolaborasi bersama ‘Labuan Financial Service Authority’ menjelang 2014.

“UMS bercita-cita untuk bekerjasama dengan institusi, industri dan bahagian penyelidikan bagi mewujudkan budaya cemerlang, kepakaran di samping menggalakkan penyelidikan dan inovasi.

“Pada masa ini, industri ini memainkan peranan besar dalam membangun modal insan melalui kerjasama strategik dan kolaborasi serta berkerja dengan institusi pembelajaran untuk membangunkan kepakaran dalam minyak dan gas serta penemuan baru.

“Secara peribadi, saya ingin menggalakkan penyelidik, pelajar dan bidang profesional yang lain untuk mempertimbangkan kejuruteraan minyak dan gas dan teknologi dalam kertas kerja supaya mampu bersaing dengan penyelidik di peringkat global dengan penuh keyakinan,” katanya.

Selaras dengan pelan pemuliharaan alam sekitar UMS menerusi pelancaran EcoCampus pada Februari lalu katanya, UMS juga nekad menangani cabaran persekitaran tempatan dan global menerusi kerjasama antara pihak berkepentingan serta pemain industri minyak dan gas.

Katanya, industri minyak dan gas sentiasa dikaitkan dengan sains dan teknologi, inovasi serta kejuruteraan dengan kejayaannya dalam penghasilan banyak, sumber lebih murah dan tenaga sumber yang bersih yang menyumbangkan kepada ekonomi dan pendidikan.

“Justeru, saya melihat industri ini memainkan peranan penting dalam usaha berasaskan pengetahuan dalam pertumbuhan mapan EcoCampus,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Penganjur, Prof Dr Duduku Krishnaiah dan tetamu kehormat yang lain.