SOGIP mampu jana RM30.6 bilion

1

RAYMOND memalu gong sebagai simbolik perasmian persidangan itu.

KOTA KINABALU: Penyiapan pembangunan sepenuhnya bagi Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang berkeluasan 4,065 ekar dijangka mampu menjana pelaburan sebanyak RM30.6 bilion dan mencipta peluang pekerjaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata kerajaan menerima banyak pertanyaan dan kertas cadangan daripada pelabur berpotensi.

“Kedatangan potensi pelaburan itu menunjukkan bahawa terdapat tarikan yang besar terhadap projek minyak dan gas SOGIP.

“Tarikan itu termasuklah membangunkan logi methanol, logi dimethyl ether dan banyak lagi termasuk pelabuhan,” katanya ketika merasmikan Pameran dan Persidangan ke-2 Minyak dan Gas Sabah di sini kelmarin. Teks ucapanya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Musa berkata, dengan pembangunan yang mantap itu, Sipitang dan daerah sekitarnya akan menerima tempias transformasi yang ketara dalam tempoh beberapa tahun.

Katanya, bagi menguruskan cabaran itu, pelan induk sedang diusahakan dalam pelbagai aspek seperti gas asli, penjajaran dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan koridor pembangunan Sabah serta mengoptimakan penggunaan gas untuk aktiviti industri hiliran.

“Kerajaan Sabah mempunyai rekod pemerintahan yang cemerlang dan kami akan terus mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk berniaga dan pelaburan.

“Kini rakyat menikmati kestabilan sosial dan politik yang mana ia adalah faktor penting dalam membantu memajukan lagi perniagaan dan meningkatkan lagi ekonomi Sabah,” katanya.

Musa berkata, kerajaan juga komited menyediakan kemudahan infrastruktur dan utiliti yang lancar demi pembangunan di Sabah.

Katanya, kerajaan juga mengutamakan pembangunan modal insan yang mana pelbagai institut kemahiran dibina khas bagi memberikan latihan kepada belia Sabah.