Belanjawan 2013 diharap cermin keprihatinan k’jaan

1

Tekankan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan peruntukan secukupnya untuk program rakyat

LIMBANG: Pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September ini diharap terus mencerminkan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menjamin kesejahteraan pelbagai lapisan masyarakat.

Ketua Masyarakat Cina Daerah Limbang Temenggung Ang Kheng Su berharap belanjawan kali ini menekankan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk program rakyat.

Beliau berkata selain berkonsepkan pembangunan modal insan, mensejahterakan hidup rakyat, Belanjawan 2013 perlu memantapkan perkhidmatan awam dalam memberi perkhidmatan yang memuaskan dan adil kepada semua masyarakat tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

“Adalah menjadi harapan bagi semua rakyat termasuk kaum Cina sendiri agar bajet kali ini memberi manfaat dan khabar gembira kepada kami untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat, selain berkonsepkan 1Malaysia,” katanya ditemui di sini semalam.

Ang berkata kesejahteraan hidup masyarakat luar bandar perlu diberi tumpuan berterusan dalam meningkatkan taraf hidup mereka termasuk kemudahan infrastruktur, jalan raya selain memperbanyak Program Bantuan Rumah (PBR).

“Sudah pastinya kerajaan BN dapat meneruskan tradisi mereka untuk membela rakyat secara adil tanpa mengira bangsa.

“Itulah keistimewaan belanjawan negara kita yang biasanya boleh dianggap mampu meringankan beban rakyat berbanding kebanyakan negara lain,” katanya.

Tambahnya, keyakinan itu berdasarkan peruntukan belanjawan tahun-tahun lalu yang berjaya memperlihat kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menerapkan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Beliau juga yakin kakitangan kerajaan akan bersama-sama merealisasikan dan menjayakan inti pati Belanjawan 2013 nanti dengan mengutamakan kepentingan rakyat secara adil dan saksama.

Sementara itu, ketua masyarakat bagi kaum Melayu dan Kedayan di daerah ini Pemanca Alie Jahar turut menaruh harapan agar kerajaan pusat dapat melihat keperluan penduduk tempatan di sini untuk mendapatkan sebuah kolej dan sekolah vokasional baharu di Limbang.

“Sebelum ini anak-anak muda terpaksa berhijrah ke luar Limbang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat vokasional, diploma dan ijazah.

“Limbang sememangnya amat memerlukan sebuah institusi pendidikan dan vokasional untuk menempatkan anak-anak tempatan khususnya di kawasan wilayah Kepulauan Borneo,” katanya.

Beliau berharap Belanjawan 2013 itu nanti tidak meminggirkan keperluan pendidikan anak-anak tempatan termasuk di Limbang.

Selain aspek pendidikan katanya, keperluan kemudahan asas dan kekurangan kemudahan di luar bandar dapat terus diperkasakan dengan pembentangan belanjawan itu nanti.

“Pada masa sama, Belanjawan 2013 yang dirancang secara terperinci itu perlu dilihat mempunyai misi untuk transformasi ke arah status negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.